Dunia Commercial Diver



Mulai Jun 2014 Sehingga 15 Oktober Blog ini akan menyiarkan semula artikel-artikel yang ditulis oleh saya yang telah pernah diterbitkan didalam Majalah PERAJURIT terbitan hujung 2012 hingga awal 2013.Tujuan penyiaran semula artikel-artikel berbentuk informatif ini adalah bagi memberi peluang kepada pembaca-pembaca lain yang tidak sempat memiliki majalah tersebut semasa keluarannya.Penulis dimaklumkan oleh pihak penerbitan Majalah tersebut bahawa Artikel-artikel mengenai menyelam yang disiarkan  adalah yang pertama  seumpamanya mengenai sejarah menyelam,tujuan menyelam dan teknik-teknik menyelam yang ada.
Semoga para pembaca yang meminati aktiviti menyelam atau pembaca biasa beroleh manfaat daripada artikel-artikel tersebut.  

Oleh : A**** J****

roninn70@gmail.com

RISIKO DAN PENYAKIT PENYELAM

Selepas menulis dengan panjang lebar beberapa bahagian tentang sejarah menyelam serta teknik-teknik menyelam yang ada dari siri yang lepas maka adalah tidak wajar sekiranya satu lagi topik yang  penting  diabaikan iaitu berkaitan risiko dan penyakit penyelam.

Apa sahaja aktiviti sukan yang lain sekiranya dilakukan diluar batasan atau melanggar peraturan yang telah ditetapkan ataupun melangkaui kemampuan manusia maka boleh mendatangkan kesan yang buruk.Jika ada yang selamat tanpa kecederaan pun itu adalah satu keajaiban.Begitu juga dengan aktiviti menyelam.

Aktiviti menyelam walau untuk tujuan apa sekalipun adalah berisiko dan merbahaya. Ingin ditegaskan bahawa  setiap penyelam bertauliah mestilah atau perlu tahu  berkaitan dengan fizik asas menyelam serta senarai panjang penyakit penyelam barulah mereka faham kesan yang dihadapi didalam mereka melakukan aktiviti ini.Kerana menyelam mempunyai risiko dan bahayanya yang tersendiri yang boleh mendatangkan kematian atau lumpuh seluruh badan jika  dilakukan dengan tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan ataupun melakukannya melangkaui kemampuan tubuh badan penyelam itu sendiri.Risiko ini dinamakan penyakit berkaitan menyelam ataupun penyakit yang disebabkan oleh tekanan persekitaran. 

Kebanyakan penyelam-penyelam muda atau penyelam baru tidak mengambil serius akan risiko yang boleh dihadapi dalam melakukan aktiviti ini.Antara faktor-faktor berlaku perkara demikian adalah kerana kurangnya penekanan yang diberikan oleh jurulatih mereka berkaitan dengan risiko-risiko menyelam ataupun penyakit-penyakit berkaitan menyelam  semasa mereka menghadiri kursus atau kelas bagi mendapatkan lesen menyelam mereka.Selain dari kurang penekanan yang diberikan oleh jurulatih atau ingatan dari penyelam-penyelam yang lebih berpengalaman, sikap tidak mahu belajar atau malas ambil tahu serta terlalu ghairah dengan aktiviti baru ditambah dengan kejahilan juga menyebabkan sesetengah penyelam terdedah risiko penyakit penyelam ini.Sesetengah Jurulatih tidak terlalu menitik beratkan tentang penyakit penyelam ini mungkin kerana ada kaitan dengan perniagaan.Jika  perihal penyakit berkaitan menyelam terlalu banyak diceritakan dikhuatiri penyelam-penyelam baru atau bakal-bakal penyelam menjadi takut untuk belajar menyelam.

Seperti yang telah diterangkan sebelum ini Sesetengah  penyelam yang ditimpa penyakit penyelam,atau `decompression sickness’ jika lewat diberi rawatan atau dimasukan kedalam ruang terkurung hiperbarik (chamber) akan menyebabkan lumpuh seluruh badan atau kematian kepada penyelam tersebut.Dan penyelam yang pernah ditimpa penyakit penyelam `bends’ mempunyai peluang lebih besar untuk mendapat penyakit tersebut berulang kali.Rekod 800 hingga 1000  penyelam  yang mendapat penyakit penyelam (DCS) dan dengan   80 hingga 100 kes  kematian setahun boleh dikurangkan andainya penyelam-penyelam skuba lebih berdisiplin dan lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri ataupun rakan selam yang lain.

Menurut rekod juga mencatitkan Nisbah perbezaan kemalangan menyelam antara selam rekreasi dan selam komersial juga adalah tinggi iaitu sebanyak 30 pada selam rekreasi manakala sifar bagi selam komersial .Walaupun aktiviti selam komersial biasanya melibatkan kerja-kerja yang berat dibawah air dan dalam keadaan yang gelap serta ekstrem tetapi oleh kerana dalam aktiviti selam komersial Industri minyak dan gas faktor keselamatan sangat dititik beratkan yang mana protocol dan prosedur yang ketat perlu dipatuhi dan disahkan sebelum sesuatu operasi selaman boleh dijalankan menjadikan statistic kemalangannya sangat rendah.

Setiap penyelam perlu tahu atau ambil tahu tentang tanda-tanda atau symptom-simptom berkaitan penyakit penyelam ini. Sebagai contoh, andai selepas sesuatu selaman ia melihat tanda-tanda yang mencurigakan atau diluar dari kebiasaan yang terdapat pada rakan selamnya maka ia boleh bertanya pula apakah symptom-simptom yang sedang dirasakan oleh rakannya itu sama ada pening,penat,rasa nak muntah,batuk.kebas dibahagian kaki atau tangan,gatal-gatal,sakit dada,sesak nafas,pandangan menjadi kabur,sakit kepala,hilang keseimbangan atau apa-apa sahaja.Bukan sahaja peka terhadap keadaan rakan selam yang lain ia juga perlu peka terhadap apa yang dirasakan dan sedang dialaminya sendiri selepas sesuatu selaman.Jika semua penyelam skuba mempunyai tahap disiplin dan tanggunggjawab begini maka statistic penyakit berkaitan menyelam dikalangan penyelam dapat dikurangkan.  Sekiranya tidak pasti, ia boleh merujuk kepada buku-buku atau internet berkaitan dengan penyakit tersebut.Kadang-kadang symptom-simptom yang dirasakan agak sama tetapi kemungkinan puncanya adalah berkaitan perkara biasa sahaja sama ada berpunca dari alah kepada makanan yang dimakan ataupun penat akibat  perjalanan yang jauh sebelum selaman.Sekurang-kurangnya Penyelam tahu tanda-tanda atau symptom awal tersebut lalu membuat sedikit rujukkan.Tetapi mengabaikan terus setiap tanda-tanda dan gejala adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Bagi Penyakit yang berat dan serius tanda-tanda dan symptom-symptomnya boleh dilihat dan memberi kesan  sebaik sahaja sampai dipermukaan manakala bagi yang kurang serius kesan-kesannya akan dirasai  dalam masa 12 hingga 48jam selepas menyelam.

Terdapat lebih kurang 20 jenis penyakit berkaitan menyelam.Antara yang sering menimpa penyelam adalah Barotrauma (Penyakit berkaitan tekanan) ataupun -“Kerosakan tisu pada organ yang mengandungi udara disebabkan oleh perubahan pada tekanan persekitaran”.
Terdapat beberapa jenis Barotrauma didalam keluarganya antaranya :
        Barotrauma of Ascent (Barotrauma menaik)
        Barotrauma of Descent  (Barotrauma menurun)
        Pulmonary Barotrauma (Barotrauma Paru-Paru) – Paling bahaya
        Middle Ear Barotrauma (Barotrauma telinga tengah) – Paling kerap
        Sinus Barotrauma (Barotrauma Sinus)
        Facemask (or facial) (Barotrauma topeng muka)
        Tooth (or dental)( Barotrauma gigi)
        Gastrointestinal (Barotrauma usus)

Namun yang  berbahaya dan  ditakuti oleh penyelam serta boleh mendatangkan kematian dengan cepat adalah 
-Pulmonary Barotrauma (Barotrauma Paru-Paru)
-Arterial Gas Embolism
-Mediastinal  Emphysema
-Pneumothorax
  Pulmonary Barotrauma (Barotrauma Paru-Paru) berlaku apabila udara yang terperangkap didalam paru-paru akan mengembang dengan cepat lalu pecah dan menembusi paru-paru,ianya kemudian sama ada masuk kesalur darah lalu terus keotak,atau mengempiskan paru-paru atau meresap kebawah kulit.Senario ini berlaku apabila penyelam timbul kepermukaan dengan cepat sambil menahan nafas yang telah diganda semasa dibawah air.

Selain dari keluarga BaroTrauma terdapat sejumlah lagi senarai penyakit penyelam yang perlu diberi perhatian oleh setiap penyelam antaranya.

1.                 Decompression Sickness-Ia terjadi akibat “outgassing” (pelepasan gas lengai yang larut dalam badan) yang tidak cukup.
2.                 Nitrogen Narcosis-Tindakbalas Nitrogen dalam system badan terhadap tekanan.
3.                 Hypoxia-disebabkan oleh kekurangan kandungan oksigen dalam gas pernafasan  
4.                 Carbon Dioxide Toxicity-Keracunan Karbon Dioksida(= Hypercapnia)
5.                  Karbon Monoksida (CO) –udara tercemar
6.                  Oxygen Toxicity -(Keracunan Oksigen)
7.                 Heat Stress – (Hyperthermia) Peningkatan haba lebih dari keupayaan badan menghilangkan haba.
8.                 Hypothermia -kehilangan haba dari badan penyelam lebih cepat dari haba yang dihasilkan.
9.                 Lemas dan Hampir Lemas
10.              Hidupan laut merbahaya
11.              Dysbaric Osteonecrosis-Kerosakan atau kematian tisu tulang  akibat tekanan tinggi ke atas badan.(biasanya saturation dive)
12.              High Pressure Nervous Syndrome-Penyakit terjadi apabila gas helium digunakan semasa menyelam paras dalam.
13.              Otitis Externa-Otitis externa  ialah jangkitan pada external auditory canal.
14.               Salt Water Aspiration Syndrome-Tersedut Air Masin atau kabus air masin sewaktu menyelam.
15.              Letupan Dalam Air
16.             Shalow Water Blackout- Berlaku apabila menahan nafas terlalu lama atau berulang.

Sebagai langkah-langkah pencegahan bagi mengelaknya berlaku kemalangan menyelam setiap penyelam hendaklah membuat perancangan,dan persiapan yang baik sebelum melaksanakan sesuatu selaman.Seperti peralatan yang bakal digunakan diselenggara dengan baik,mengenali tempat menyelam,mengenali rakan selam dan kemampuannya,prosedur keselamatan,nombor-nombor telefon penting semasa kecemasan,no telefon chamber hiperbarik yang berhampiran,peralatan pertolongan cemas,peralatan bantuan awal oksigen,menilai kemampuan diri sendiri dan lain-lain lagi yang difikirkan perlu. 

Apabila berlaku kemalangan menyelam pula dan semasa mendapatkan rawatan berkaitan penyakit penyelam bagi rakan selam atau diri sendiri hendaklah memberikan maklumat yang lengkap dan sebaik mungkin kepada pegawai perubatan selam,maklumat tersebut biasanya terdapat  didalam buku log menyelam.Disiplin setiap penyelam adalah perlu dalam merekodkan sendiri setiap selaman didalam buku log menyelam masing-masing.Kerana berpandu dari maklumat lengkap didalam buku log menyelam serta tanda-tanda dan aduan dari penyelam maka pegawai perubatan selam dapat mengetahui penyakit penyelam yang mana satu yang sedang dihadapi penyelam tersebut sama ada serius atau tidak. Jika berlaku kemalangan berkaitan menyelam adalah digalakkan mendapatkan rawatan terus dari yang pakar atau arif dalam bidang berkenaan kerana dalam menghadapi situasi penyakit penyelam yang serius setiap masa yang berlalu meningkatkan risiko keadaan bertambah buruk atau kematian.Berjumpa dengan pegawai perubatan yang kurang arif tentang perubatan selam hanya menangguhkan rawatan yang betul terhadap penyelam yang cedera. 

Bagi agensi kerajaan yang mempunyai pasukan penyelam pula sama ada bagi tujuan pertahanan atau perkhidmatan awam pula harus mempunyai prosedur tetap operasi yang efektif,praktikal dan relevan.Tidak keterlaluan jika dibuat andaian  mungkin terdapat sesengah Entiti pasukan penyelam agensi Kerajaan yang tidak mempunyai prosedur tetap operasi bagi operasi menyelam.Ataupun Prosedur yang ada tidak cukup lengkap berbanding dengan aset-aset terkini yang dimiliki.Contohnya mungkin Prosedur tetap operasi menyelam semasa hanya menggariskan panduan untuk operasi selam skuba tetapi tidak menyentuh tentang operasi dan penggunaan peralatan teknikal,atau peralatan Bekalan Dari Permukaan atau operasi selaman chamber hiperbarik.Sebarang operasi yang tidak mengikut garis panduan prosedur standard operasi tidak mustahil akan berlaku kepincangan dalam perlaksanaannya.Kepincangan dalam operasi bakal mengundang kemalangan.Agensi Kerajaan atau Entiti menyelam yang Tidak pernah ditimpa kemalangan menyelam pula tidak harus selesa dengan rekod yang dipegang kerana bukan bermakna Selamanya mereka tidak akan ditimpa kemalangan menyelam.Jika peraturan dan prosedur yang ada tidak diikuti atau tidak dikemaskini lambat laut kemalangan menyelam pasti berlaku.

Sejarah telah membuktikan yang Kemalangan menyelam boleh menimpa sesiapa sahaja baik penyelam persendirian begitu juga dengan penyelam sivil dan penyelam tentera.Malah penyelam komersial didalam industri minyak dan gas sendiri,Didalam mematuhi prosedur yang ketat pun masih juga berlaku kejadian penyelam ditimpa penyakit berkaitan penyelam.Memiliki peralatan yang canggih dan terkini semata-mata tidak dapat menjamin sepenuhnya keselamatan penyelam yang menggunakannya atau penyelam lain.Penyelenggaraan yang berjadual dan baik,kebolehupayaan ahli pasukan mengenal pasti sebarang potensi kepincangan peralatan atau potensi kepincangan operasi serta latihan yang berterusan dalam kaedah menangani kecemasan menyelam dapat mengurangkan statistic hilang upaya kekal atau kematian akibat menyelam.

Yang paling penting juga disiplin serta rasa tanggunggjawab yang tinggi seseorang penyelam itu sendiri adalah kunci utama sama ada aktiviti menyelam tersebut membawa kepada kebaikan atau keburukan kerana jika dikaji semula secara mendalam 99 % kemalangan menyelam adalah berpunca dari kecuaian dan kelalaian manusia sendiri.      

  



Time


Get your own Digital Clock

Followers

Aku..

(Sesungguhnya masa depan kita atau org lain tidak kita ketahui melainkan semuanya adalah didalam pengetahuan ALLAH SWT jua. ) Ini adalah sebuah kisah atau cerita-cerita yang membosankan mengenai kehidupanku sebagai seorang penyelam komersial dalam industri Minyak & Gas.Kepada yang pertama kali masuk blog ni eloklah baca dari entri pertama baru bole faham blog ini sbnrnya...sama mcm kita tgk movie kalau tiba2 je dah kat tgh2 mesti tak faham. kemudian kita terus andaikan yang citer tu tak best.....Anggaplah Tuan/Puan sedang membaca sebuah novel realiti.walau bagaimanapun aku ucapkan terima kasih kerana Tuan/Puan sudi melayan blog `Cap Ayam' aku ni.Hidup sebagai pelaut seperti aku bersesuaian benar dengan ayat dari surah dibawah.

Dialah yang menundukan lautan (sehingga boleh dilayari dipermukaannya atau diselami didasarnya) Supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut dan dapat pula mengeluarkan daripadanya perhiasan untuk kamu memakainya.Engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya dan supaya kamu dapat mencari rezeki daripada limpah kurnianya mudah-mudahan kamu bersyukur.

AL NAHL ayat 14.

Cari di Facebook (FB)
ronin newg



ok peace....
( Untuk stori bergambar sila layari melalui engine carian mozila firefox atau google chrome,kerana entah dimana silapnya internet explorer hanya menyiarkan stori tanpa gambar )

Sila Ikuti Kisah Ini Melalui Panduan Bacaan



















Radio Online

Radio Online
Klasik Nasional FM

Panduan Bacaan

Top Commentators

Get this widget here