Job pertama di Offshore
Projek 7 riser removal
Miri oil field
Tamat latihan di TUCF pada 6/11/2006 aku pulang ke Malaysia dan dengan sedikit baki wang yang ada aku ambil kursus
- Basic Offshore Safety and emergency Training (BOSET)
- Helicopter Underwater Escape Training ( HUET)
Serta jalani `Offshore Medical Check up ‘ diklinik panel Petronas sebagai persediaan awal sekiranya ade mana-mana `diving contractor’ yang menawarkan kerja jadi aku boleh terus kerja kerana sudah ada perkara-perkara yang diperlukan untuk kerja di `offshore’.
Kalau tiada sijil-sijil tersebut tak boleh naik helicopter apatah lagi kerja di `offshore’, dalam masa yang sama juga aku dah mula menghantar `curriculum vitae’(CV)dan menghubungi beberapa `diving contractor’ berdasarkan alamat-alamat dan nombor telefon yang diberikan oleh rakan-rakan yang juga bekas penyelam TLDM yang sekarang menjadikan bidang `commercial diving’ sebagai karier tetap mereka tetapi mereka free lance,mereka tidak tetap bekerja disatu-satu tempat atau dengan satu `diving contractor’ sahaja.
Aku juga gunakan masa yang ada dengan beri penuh tumpuan pada keluarga dan aku betul-betul berehat setelah 3 bulan berhempas-pulas training di Australia jadi inilah masanya aku nak rehat.Kira-kira sebulan lebih juga aku menganggur apabila suatu hari aku dapat panggilan telefon daripada `operation supervisor’ syarikat Alam Hidro ,En Irwan Rosdi untuk turut serta bersama beberapa lagi diver dalam satu projek di Miri.
25 Dec.2006 aku bersama En.Irwan Rosdi dan 2 lagi penyelam diterbangkan ke Miri.Selepas bersetuju dengan gaji yang ditawarkan,kontrak ditandatangani untuk tugas selama 60 hari. Kadar gaji yang ditawarkan memadai bagi orang yang tiada pengalaman dalam dunia `oil & gas’ seperti aku,yang penting adalah tapak permulaan untuk melangkah kedalam dunia `commercial diving’ dan cuba dapatkan pengalaman sebanyak mungkin dengan tidak terlalu memikirkan gaji yang ditawarkan.Namun begitu ia sangat jauh lebih tinggi dari gaji ku sebelum ini.
Biasanya `standard rate’ bagi diver yang ada lesen ADAS Part 3 atau HSE Part 1 adalah sekitar USD (rahsiee...he he) sehari, walaupun masih baru, dan sudah jadi kebiasaan ia dikira dalam matawang US.Itu adalah bayaran bagi `air diver’.Seperkara lagi bayaran untuk diver dikira mulai mereka keluar rumah sehingga balik kerumah iaitu setiap wang yang didahulukan semasa perjalanan pergi atau perjalanan pulang seperti tambang teksi,makan atau lain-lain akan dibayar semula oleh kontraktor.
Berbeza bagi `saturation diver’ pendapatan mereka lebih tinggi iaitu mencecah USD 1300.00 sehari,jika ditukar ke matawang Malaysia lebih kurang 3.5 sama dengan RM 4550 sehari dan jika mereka bekerja 30 hari jumlahnya RM 136.000.`Saturation diver’ adalah kategori golongan `elit’ dalam dunia `commercial diving’,mereka adalah diver yang tinggal didalam kompleks chamber selama 10 hari ke 28 hari bagi melakukan tugas-tugas dikedalaman yang melebihi dari yang dihadkan untuk `air diver’ iaitu 50 meter keatas kerana mereka menggunakan gas campuran iaitu helium + oksigen.
Tempat tinggal `Sat.diver’ dalam chamber sepanjang projek
Dan udara yang disedut ialah gas campuran helium & oksigen
Dan tekanan persekitaran adalah mengikut kedalaman `jobsite’
tempat mereka bekerja.
Di miri aku digabungkan dgn 11 lagi diver dan 2 supervisor diver.Diver-diver ini datang dari serata Malaysia dan berbagai `background’ 6 daripadanya adalah bekas penyelam TLDM,bekas-bekas penyelam TLDM ini memang mahir dan cekap melakukan kerja-kerja bawah air serta tahan lasak hasil dari latihan berat dan pengalaman dalam tentera digabungkan dan digunakan dalam dunia `commercial diving’. Tetapi sayang kemahiran dan kecekapan mereka adakalanya tidak dihargai kerana ada syarikat-syarikat yang tidak mahu mengambil mereka bekerja dengan alasan tiada lesen ADAS Part 3 atau HSE Part 1,jika ada syarikat yang mengambil mereka bekerja pun tapi dengan bayaran yang rendah.
Walaupun sedar dieksploitasi namun bekas-bekas tentera ini tiada pilihan kerana anak-anak dirumah perlukan susu dan belanja harian.Pada waktu itu 2006 dianggarkan ada lebih kurang 30 orang penyelam bekas TLDM yang aktif tapi tiada lesen `commercial diving’ yang sesuai dengan kehendak `International Marine Contractors Asccociation’ (IMCA).Dianggarkan ada lebih kurang 5 orang sahaja bekas penyelam TLDM yang memiliki lessen HSE Part 1 dan mereka sangat berjaya sekarang serta sering diambil bekerja oleh diving company yang besar dan dihantar bekerja di pelantar-pelantar minyak serata dunia dengan bayaran yang lumayan.Tapi sejak tahun 2007 majoriti penyelam dari kalangan bekas anggota TLDM ramai yang sudah memiliki lesen ADAS Part 3.
Sebenarnya selain dari bekas-bekas tentera ini ramai lagi penyelam-penyelam diluar sana yang melakukan kerja-kerja bawah air di `onshore’ hanya dengan berbekalkan lesen selam skuba rekreasi,bukan mereka tidak mahu pergi lebih jauh dalam industri yang mempunyai masa depan yang cerah ini tapi kesukaran mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan yang ada membantutkan impian untuk mendapatkan latihan dan lesen `commercial diving’ dari sekolah-latihan di Australia dan U.K.Sedangkan jika diberi pinjaman mereka mampu membayar balik kepada pemberi pinjam hanya dalam masa beberapa bulan bekerja sahaja.
Bersambung akan dtg......Underwater cutting....